Thursday, March 18, 2010

IJTIHAD SEBAGAI PENJANA PERUBAHAN MASYARAKAT


1. PENDAHULUAN

Secara logiknya, berfikir merupakan faktor utama dalam menentukan sesuatu matlamat kehidupan sosial. Menurut istilah Arab, berfikir secara kritis untuk menghasilkan sesuatu adalah ijtihad. Ijtihad merupakan satu perkataan yang sinonim dan boleh dikaitkan dengan perubahan besar masyarakat selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w sehingga ke hari ini. Ini bukan bermaksud ijtihad tidak wujud pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Akan tetapi, ijtihad yang dikeluarkan selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w lebih kepada peristiwa-peristiwa baru yang tidak dijelaskan hukumnya di dalam al-Quran dan al-Sunnah lebih memerlukan pemikiran yang cergas untuk menghasilkaan sesuatu hukum agar tidak berlanggar dengan syariat Islam. Tambahan pula, dengan ketiadaan Nabi Muhammad s.a.w sebagai sumber rujukan untuk memahami kedua-dua sumber tersebut telah menyukarkan para mujtahid dan menyebabkan pelbagai pendapat dalam mengeluarkan hukum berdasarkan perbezaan memahami maksud nas-nas tertentu. Menurut Syeikh Yusof al-Qaradawi di dalam artikalnya, pemahaman semula terhadap fiqh semasa adalah penting kerana keadaan sosial, ekonomi dan politik umat Islam pada hari ini adalah jauh berbeza dengan zaman awal perkembangan Islam. Di samping itu, bagi melaksanakan sesuatu ijtihad, perlulah seorang mujtahid melihat kepada keadaan semasa sama ada keputusan ijtihad tersebut mampu atau tidak memberi kemaslahatan kepada masyarakat umumnya. Ini jelas menggambarkan ijtihad merupakan salah satu agen terbesar dalam perubahan budaya masyarakat yang berkait rapat dengan perkembangan fiqh semasa ataupun dikenali sebagai Fiqh Kontemporari.


2. KEDUDUKAN AKAL DALAM ISLAM

Dalam Islam, akal memiliki kedudukan yang sangat mulia. Walaupun demikian bukanlah bererti akal diberi kebebasan tanpa batas dalam memahami agama. Akal merupakan nikmat yang besar yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t dalam jasmani manusia. Oleh itu terdapat pelbagai ayat al-Quran yang memerintah supaya manusia menggunakan akal untuk berfikir antaranya ialah di dalam surah An-Nahl ayat 12, firman Allah s.w.t;

وَسَخَّرَ لَڪُمُ ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّهَارَ وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ‌ۖ وَٱلنُّجُومُ مُسَخَّرَٲتُۢ بِأَمۡرِهِۦۤ‌ۗ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَعۡقِلُونَ (١٢)
Maksudnya:
“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengn perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal.”

Antara bukti akal merupakan perkara yang paling diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t di sisi manusia ialah:-

I. Allah s.w.t menetapkan akal sebagai tempat bergantungnya hukum sehingga yang tidak berakal tidak akan dibebani hukum. Seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud;

“Diangkat pena dari tiga golongan: orang yang gila yang akalnya tertutup sampai sembuh, orang yang tidur sehingga bangun, dan anak kecil sehingga baligh”

Menurut ulamak usul, maksud yang dapat difahami daripada hadis ini ialah syarak telah menjadikan orang yang tidur, kanak-kanak yang masih kecil yang belum sampai tempoh matang untuk berfikir dan membezakan antara perkara baik dan buruk serta gila meyebabkan mereka terhalang dari pertanggungjawaban hukum.

II. Islam menjadikan akal sebagai salah satu dari lima perkara yang harus dilindungi iaitu: agama, akal, harta, jiwa dan kehormatan. Allah mengharamkan khamr untuk menjaga akal. Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 90:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٩٠)
Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

Pada pendapat saya, jelaslah daripada ayat ini bahawasanya meminum arak boleh merosakkan akal. Maksud merosakkan akal di sini ialah boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan untuk berfikir dan menilai kesan baik atau buruk sesuatu perkara.

Jelaslah di sini bahawa akal dan ijtihad merupakan dua perkara subjektif yang saling berkait dan saling memerlukan antara satu sama lain. Ini kerana tanpa akal seseorang tidak mampu sama sekali untuk berfikir bagi melaksanakan dan sesuatu perkara.

Akan tetapi perlulah dingatkan, akal yang sihat tidak akan bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana apabila berlaku pertentangan antara dalil akal dan dalil al-Quran mahupun al-Sunnah maka dalil al-Quran dan al-Sunnah perlulah mengatasi dalil akal sebagai sumber sesuatu hukum. Adapun begitu, pertentangan akal dengan syariat takkan terjadi selamanya kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui.


3. SISTEM PEMIKIRAN

Apakah yang dimaksudkan dengan pemikiran? Terdapat banyak istilah yang didefinisikan oleh para ilmuwan Islam dan Barat dalam bidang falsafah mengenai pengertian pemikiran, antaranya ialah:-

i. Dewey (1993) mentakrifkan pemikiran sebagai perilaku dalam menyelesaikan masalah,

ii. Bochenski (1990:59) menyatakan bahawa berfikir adalah setiap perkembangan idea-idea dan konsep yang dilahirkan menerusi minda.

iii. Som Hj. Nor dan Mohd Dahlan menyatakan pemikiran adalah proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai kepelbagaian kemungkinan, idea, dan membuat pertimbangan yang wajar, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta membuat refleksi dan meta kognitif terhadap proses yang dialami.

Dapatlah disimpulkan di sini, pengertian pemikiran secara menyeluruh bermaksud proses berfikir secara kreatif dan kritis dengan menggunakan pendekatan akal sihat. Jelaslah mengapa akal yang sihat penting bagi melahirkan idea yang bernas berdasarkan sumber-sumber yang diyakini keautoritiannya iaitu bukan sekadar akal semata-mata.

Sistem pemikiran yang akan dibincangkan di dalam kertas kerja ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu:



I. Sistem pemikiran Barat

i. Sejarah pemikiran Barat

Secara umumnya, Barat telah menggunakan kosep logikal sebagai sumber utama dalam sistem pemikiran mereka. Konsep ini telah diperkenalkan dalam kalangan masyarakat Islam sejak zaman penjajahan lagi. Teori pemikiran logik Barat didirikan oleh tiga orang tokoh falsafah Yunani yang terkenal dan berpengaruh sehingga hari ini, iaitu Socrates, Plato dan Aristotle bermula abad ke 4.

Sebenarnya tempoh bermula perkembangan pemikiran dan falsafah Barat secara meluas semasa Zaman Kesedaran (Age of Enlightenment), iaitu istilah yang digunakan untuk menerangkan satu fasa dalam kebudayaan hidup dan falsafah Barat yang berpusat pada abad ke-18. Zaman Kesedaran merupakan satu zaman bermulanya proses perkembangan intelektual dan falsafah dalam masyarakat Barat pada abad tersebut yang memberi kesan terhadap perubahan moral dan sosial masyarakat sehingga kini. Falsafah dan pemikiran Barat pada abad ke 18 lebih tertumpu dalam mencari kebenaran atau realisme berdasarkan kelogikan terhadap sesuatu kejadian yang berlaku di dalam dunia.

ii. Teori-teori pemikiran Barat

Antara teori-teori pemikiran Barat yang telah diamalkan oleh negara-negara Eropah ialah:-

a. Liberalisme

Istilah liberalisme berasal daripada perkataan Latin iaitu Liber yang bermaksud bebas. Oleh itu, pengertian liberalisme ialah berpandangan bebas. Sebagai satu ideologi, liberalisme boleh dikatakan berasal dari falsafah kemanusiaan yang mula mempersoalkan kuasa Gereja semasa zaman Renaissance. Aliran liberlisme ini merupakan satu fahaman yang telah muncul di Eropah semenjak abad ke-18 yang telah dipelopori oleh John Locke, Rousseou, Adam Smith dan J.S. Mill. Secara umumnya, aliran ini bersetuju dengan prinsip-prinsip kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara, batasan kepada kuasa kerajaan, kedaulatan undang-undang, hak individu ke atas harta persendirian, pasaran bebas dan ketelusan sistem pemerintahan. Terdapat beberap prinsip liberalisme yang telah dipersetujui di kalangan liberal iaitu:-

• Liberalisme politik adalah aliran di mana seseorang itu adalah asas undang-undang dan masyarakat. Tambahan lagi, masyarakat dan institusi-institusi kerajaan yang wujud di dalam masyarakat berfungsi untuk memperjuangkan hak-hak peribadi tanpa memilih kasih kepada sesiapa yang mempunyai taraf sosial yang tinggi. Liberalisme politik menekankan perjanjian sosial yang mana rakyat merangka undang-undang and bersetuju untuk mematuhi undang-undang tersebut. Ini adalah berdasarkan pemikiran di mana seseorang itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya. Liberalisme politik mengandungi semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, kaum atau taraf ekonomi. Liberalisme politik juga menekankan kedaulatan undang-undang dan demokrasi liberal.

• Liberalisme budaya menekankan hak-hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan pelindungan dari campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi.

b. Sekularisme

Menurut Cox, sekularisme ialah pembebasan dari jagaan agama serta pengalihan perhatian dari dunia agama ke dunia kini iaitu menuju kemodenan.
Sekularisme ialah ideologi bahawa urusan keduniaan seperti politik, pentadbiran dan undang-undang harus dipisahkan dari urusan keagamaan. Sekularisme memperjuangkan hak untuk bebas dari peraturan dan ajaran agama, dan kebebasan dari ajaran agama yang dipaksa oleh pemerintah ke atas rakyat, sebuah negara yang bersifat neutral dalam hal-hal keagamaan, dan juga tidak memberi keistimewaan terhadap mana-mana agama. Dengan kata lain, sekularisme merujuk kepada kepercayaan bahawa kegiatan dan keputusan yang dibuat oleh manusia, terutamanya yang berkaitan politik, harus berdasarkan bukti dan fakta bukannya pengaruh agama.

II. Sistem pemikiran Islam

i. Sejarah pemikiran Islam

Manusia dianugerahkan Tuhan dengan akal untuk berfikir, maka dengan menggunakan pemikiran, manusia mampu menjadikan manusia lebih bertamadun dari sudut sosio budaya.

Menurut sumber sejarah, bidang ilmu pemikiran Islam merupakan pokok perbincangan yang baru. Ini disebabkan oleh ketiadaan teks klasik yang membincangkan mengenai subjek atau tajuk pemikiran Islam secara khusus. Walaupun dengan ketiadaan teks klasik mengenai pemikiran Islam, bukanlah bermakna pemikiran Islam itu tidak pernah wujud semenjak kedatangan Islam. Cuma ia tidak distrukturkan dengan tersusun sebagai salah satu cabang ilmu. Contohnya di dalam bidang hadis. Walaupun hadis telah mula wujud semenjak perutusan Rasulullah s.a.w namun ilmu hadis ini mula giat diperkembangkan melalui penulisan dan pembukuan semasa kurun ke 3 hijriah.

Mengikut perjalanan sejarah pemikiran Islam mula berkembang sejak berlakunya perpecahan politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. sehingga mewujudkan pelbagai aliran akidah dan pendapat dalam ilmu fiqh, tasawuf, tafsir ataupun hadis semuanya lebih menjurus kepada pendapat aliran masing-masing sama ada mereka bersepakat atau berselisih antara satu sama lain. Kesan daripada masalah tersebut maka lahirlah pelbagai mazhab dalam kalangan masyarakat Islam sehingga kini.

ii. Kaedah-kaedah pemikiran Islam

Antara kaedah dalam pemikiran Islam ialah:-

a. Cara berfikir yang berteraskan wahyu dan sunnah iaitu berpandukan Al-Quran dan Hadis.

b. Penggunaan akal tetapi hanya bagi perkara-perkara yang tidak ada nas yang jelas dan nyata tentang kedudukan hukumnya.


4. IJTIHAD

I. Definisi Ijtihad

Terdapat berbagai-bagai definisi yang telah dikemukakan oleh para fuqaha berdasarkan beberapa aspek tertentu dalam menentukan pengertian ijtihad. Antarnya ialah definisi ijtihad menurut Al-Baidhawi iaitu “ menggunakan sepenuh daya dalam memahami hukum syarak.” Al-Amidi pula mendefinisikan ijtihad sebagai “ menggunakan sepenuh daya dalam mengagak sesuatu hukum syarak.” Manakala menurut As-Subki pula, mendefinisikan ia sebagai “ berusaha sedaya upaya menghasilkan andaian tentang hukum”.

Di dalam rujukan lain pula, definisi ijtihad dapat dilihat daripada dua sudut iaitu sudut bahasa Arab dan istilah. Perkataan ijtihad diambil daripada bahasa Arab iaitu al-juhd yang bermaksud bersungguh-sungguh menurut Ibn Faris. Menurut al-Raghib al-Asfahani al-Juhd merujuk kepada kebolehan seseorang. Ini beerti ijtihad adalah sebagai usaha seseorang secara bersungguh-sungguh dalam mengenalpasti punca masalah kemudian mencari kaedah sesuai sebagai suatu alternative kepada permasalahan yang berlaku. Manakala dari sudut istilah pula bermaksud mengerah usaha untuk sampai kepada satu hukum syarak. Seseorang yang mengerahkan usahanya bagi mendapatkan sesuatu hukum dikenali sebagai mujtahid.

Secara rumusan yang dapat difahami melalui definisi-definisi yang dikemukakan oleh para fuqaha, ijtihad merupakan suatu proses untuk para mujtahid menyelidik, memahami dan meneliti tentang sesuatu hukum syarak berdasarkan al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan al-Qias sebagai sumber yang disepakati oleh para fuqaha usul serta berdasarkan kaedah-kaedah tertentu untuk mencapai sesuatu hukum bagi masalah baru yang tidak ditetapkan di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah.

II. Kedudukan akal dan ijtihad

Islam mengiktiraf akal sebagai elemen penting dalam membina kelangsungan kehidupan manusia. Seperti yang telah dibincangkan di atas, dapatlah kita memahami bahawa kedudukan akal dan fikiran merupakan dua elemen penting dan asas dalam pembinaan tamadun sesuatu umat. Sebenarnya para ilmuan telah mengkaji bahawa terdapat beberapa kaedah dan sistem dalam pola pemikiran yang dianjurkan oleh al-Quran. Terdapat pengkaji yang telah mengkategorikan pola dan kaedah pemikiran yang disarankan oleh al-Quran kepada beberapa pemikiran seperti:-

i. Pemikiran bersifat inkuisitif

Merujuk kepada satu bentuk persoalan yang dikemukakan semata-mata untuk mencari dan mengetahui mengenai sesuatu perkara. Pendekatan ini merupakan cara yang terbaik di dalam sistem pembelajaran khususnya untu mempertajamkan minda.





ii. Pemikiran bersifat objektif

Merujuk kepada kenyataan atau hujah yang bersertakan dengan bukti. Contohnya dalam kes pendakwaan diperlukan bukti-bukti yang kukuh sebelum disabitkan dakwaan tersebut.

iii. Pemikiran bersifat positif

Merujuk kepada penyataan yang boleh membina diri ke arah yang lebih positif dan berkeyakinan tinggi.

iv. Pemikiran bersifat hipotitikal

Pemikiran yang bertujuan meningkatkan minda manusia. Dalam hal ini al-Quran mendedahkan maklumat mengenai kebenaran agar umat Islam menjadi muslim yang komited.

Jelaslah di sini, al-Quran telah banyak menjelaskan cara berfikir yang sihat supaya tidak tersasar dari syariat Islam. Selain itu, secara umumnya antara pendekatan pemikiran yang lahir daripada kaedah-kaedah pemikiran di atas ini ialah:-

i. Pendekatan pemikiran secara kreatif, inovatif dan efektif

Pendekatan secara kreatif terlahir daripada pemikiran bersifat hipotitikal. Sebagai contoh, seorang arkitek bangunan mestilah mempunyai pelbagai idea baru untuk melakar reka bentuk bangunan yang unik hasil gabungan idea yang wujud di dalam mindanya berdasarkan maklumat-maklumat yang telah ditetapkan oleh pelanggan.

ii. Pendekatan pemikiran secara rasional

Pendekatan secara rasional terlahir dari pemikiran yang bersifat positif. Sebagai contoh, apabila serang pelajar telah gagal mendapat keputusan yang baik, maka pemikiran yang positif dapat membantu ia untuk membentuk semula keyakinan dan jati diri. Melalui pemikiran ini secara tidak langsung ia mampu untuk berfikir secara rasional mengapa dia telah gagal dalam peperiksaan. Oleh itu, ia akan memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya.

iii. Pendekatan secara inovasi

Pendekatan secara inovasi pula terlahir daripada setiap pemikiran di atas. Contohnya, apabila seseorang berfikir sudah tentu ia akan menghasilkan sesuatu perkara baru yang akan mengubah cara hidup.

iv. Pendekatan secara tindak balas

Pendekatan ini menjelaskan bahawa setiap pemikiran yng terhasil berpunca daripada tindak balas. Ini bermaksud, mustahil seseorang hendak berfikir secara tiba-tiba. Sudah tentu tidakan berfikir itu lahir daripada persoalan.oleh itu pemikiran bertindak balas dengan persoalan.

III. Sumber-sumber Ijtihad

Terdapat dua sumber yang digunapakai oleh para mujtahid dalam melakukan ijtihad iaitu:-
i. Al-Quran

Kalam Allah s.w.t yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Malaikat Jibril a.s kepada seluruh umat manusia secara beransur-ansur dengan lafaz Arab.

ii. Al-Sunnah

Merupakan perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah s.a.w.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, al-Quran dan al-Sunnah merupakan panduan atau “guideline” utama yang mempunyai prinsip-prinsip pembangunan dan pembentukkan Negara Islam yang maju dari segi politik, ekonomi dan sosial contohnya Madinah, negara Islam yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w dengan menggunakan peruntukan Piagam Madinah. Prinsip-prinsip yang yang didapati melalui dua sumber tersebut tidak terlepas dari dua konsepsi iaitu rohani dan jasmani iaitu konsep yang menitikberatkan soal akidah, ibadah dan akhlak manusia.

Al-Quran merupakan sumber perundangan yang paling lengkap di alam semester. Ia merupakan sumber yang bersifat universal iaitu sesuai dijadikan rujukan oleh sesiapa dan pada bila-bila masa. Begitu juga dengan al-Sunnah, merupakan sumber kedua selepas al-Quran. Al-Sunnah

Jelaslah di sini, sehebat mana tahap pemikiran seseorang dalam memajukan Negara tanpa terdapat unsur-unsur ketuhanan sudah pasti Negara tersebut mundur. Apa yang dimaksudkan dengan mundur? Mundurnya sesuatu negara itu disebabkan mundurnya sesuatu kaum. Sebagai contoh, Negara Barat tidak pernah sesekali menitik bertkan soal agama dalam pembangunan Negara walaupun tidak dapat dinafikan Negara mereka memang maju dari segi infratruktur. Akan tetapi kehidupan masyarakat mereka tersangatlah terbelakang. Cuba lihat kehidupan sosial mereka antara lelaki dan perempuan. Mereka masih melakukan aktiviti yang tidak bertamadun contohnya hubungan antara perempuan sesama perempuan (lesbian), hubungan antara lelaki sesamalelaki (gay), kehidupan tanpa perkahwinan sah dan lain-lain.

IV. Jenis-jenis Ijtihad

Terdapat beberapa jenis ijtihad antaranya ialah:-

i. Ijmak

Adalah keputusan bersama yang dilakukan oleh para ulama dengan cara ijtihad untuk kemudian dirundingkan dan disepakati. Hasil dari ijma adalah fatwa, iaitu keputusan bersama para ulama dan ahli agama yang berwenang untuk diikuti seluruh umat.
ii. Qiyas

Qiyas ialah menyamakan hukum yang tiada nas syarak terhadap perkara-perkara cabang dengan hukum yang terdapat di dalam nas asal kerana kedua-duanya berkongsi illah.

iii. Istihsan

Istihsan bermaksud memandang dan menyakini baiknya sesuatu ketika mana hukum yang terkandung dalam metode qiyas atau kaedah umum tidak bersesuaian dengan sesuatu permasalahan.

iv. Marsaleh mursalah

Marsaleh mursalah bermaksud penetapan hukum syarak bersandarkan kepada prinsip mengambil manfaat dan menolak kemudharatan.

v. Sadd dhazari’i

Adalah tindakan memutuskan suatu yang mubah menjadi makruh atau haram demi kepentingan umat.

vi. Istishab

Meneruskan hukum asal sesuatu perkara sehingga diyakini terdapat dalil atau bukti lain yang bertentangan dengannya.

vii. Uruf

Merupakan tindakan mengharuskan sesuatu adat kebiasaan masyarakat setempat selama kegiatan tersebut tidak bertentangan dengan perundangan Islam.

Menurut Syeikh Yusof al-Qardawi terdpat dua pembahagian ijtihad iaitu:-

i. Ijtihad intiqa’i

Melakukan penelitian dan perbandingan terhadap karya-karya fiqh klasik pelbagai mazhab bagi mengambil pendapat yang terkuat untuk menetapkan hukum atau fatwa yang berkaitan dengan masalah semasa.

Contohnya ijtihad Umar al-Khattab dalam penubuhan Baitu Mal. Kesan daripada ijtihad Umar al-Khattab, maka nasib umat Islam yang tidak bernasib baik terbela sehingga ke hari ini.

ii. Ijtihad insya’i.

Berijtihad terhadap permasalan-permasalahan baru yang tidak pernah dibincangkan oleh fuqaha terdahulu berpandukan dalil-dalil syariat seperti mana yang terdapat dalam usul al-fiqh dan kepada kaedah-kaedah umum fiqh Islam.

Contohnya dalam masalah yang terjadi pada masa kini, tuntutan zaman moden yang mendesak, telah membolehkan wanita bermusafir tanpa ditemani suami atau walinya selagi terdapat jaminan keamanan ke atas diri wanita tersebut. Disebabkan ijtihad ini yang menyebabkan ramai kaum wanita berubah cara kehidupan. Ini adalah bertepatan dengan realiti masyarakat moden yang memberi peluang kepada wanita untuk menceburi bidang keilmuan, budaya, kerjaya dan berkemampuan untuk melihat realiti hidup.

V. Tujuan Ijtihad

Secara pastinya, ijtihad merupakan salah satu mekanisme dalam perubahan masyarakat dari dahulu sehingga kini. Mengapa? Ini berlaku disebabkan oleh tujuan ijtihad itu sendiri yang mana ia sebagai asas supaya tidak berlaku pemisahan antara agama dan perubahan dalam sosio masyarakat disebabkan oleh mekanisme keadaan semasa yang memerlukan masyarakat berubah dari semasa ke semasa. Islam telah lama menyarankan masyarakat membina tamadun yang lebih maju dan membangun dari pelbagai sudut. Tambahan pula ciri-ciri Islam antara satunya bersifat universal.

Tujuan utama ijtihad adalah untuk memenuhi keperluan hidup umat manusia dalam beribadah kepada Allah SWT di suatu tempat tertentu atau pada suatu waktu tertentu. Jika terjadi persoalan baru bagi kalangan umat islam di suatu tempat tertentu atau di suatu masa waktu tertentu maka persoalan tersebut dikaji apakah perkara yang dipersoalkan itu sudah ada dan jelas ketentuannya dalam al-Quran atau al-Sunnah Sekiranya sudah ada maka persoalan tersebut harus mengikuti ketentuan yang ada sebagaimana disebutkan dalam al-Quran atau al-Sunnah itu. Namun jika persoalan tersebut merupakan perkara yang tidak jelas atau tidak ada ketentuannya dalam al-Quran atau al-Sunnah, pada saat itulah maka umat islam memerlukan ketetapan ijtihad. Tapi yang berhak melakukan ijtihad adalah mereka yang mengerti dan memahami al-Quran atau al-Sunnah.

Di samping itu, ijtihad juga menghasilkan perkara-perkara baru yang dapat mengerakkan perubahan dalam kehidupan masyarakat. Perubahan yang dihasilkan perlulah dinilai sama ada ia memberi input yang baik atau sebaliknya kepada masyarakat umum. Jika diyakini perubahan yang dihasilkan mampu memberi input yang baik berdasarkan kemaslahatan umum maka bolehlah diteruskan perubahan tersebut.

Sebagai contoh dalam perlaksanaan perbankan masa kini, sistem Bai’ Bithaman Ajil BBA (Penjualan dengan harga tertangguh). Ini merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh bersertadengan suatu margin keuntungan yang dipersetujui, sama ada secara sekali gus atau secara ansuran. Mengikut hukum asal jual beli tidak dibenarkan jual beli secara bertangguh tetapi disebabkan keperluan semasa masyarakat maka ia dibenarkan.



5. IJTIHAD SEBAGAI PENJANA PERUBAHAN MASYARAKAT

Telah diketahui bahawa ijtihad diperlukan sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi, maka pada zaman moden inilah ijtihad paling diperlukan disebabkan berubahnya keadaan kehidupan manusia yang semakin bertamadun serta semakin dikelilingi dengan arus kemodenan dari semasa ke semasa. Ijtihad merupakan roh penggerak kepada berkembang dan majunya berbagai pemikiran keagamaan pada masa kejayaan Islam pada masa dahulu bahkan hingga saat ini. Contohnya, masyarakat sebelum Islam iaitu sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w merupakan masyarakat jahiliyyah iaitu tidak mempunyai peraturan dan nilai-nilai moral. Mereka mengamalkan penyembahan berhala, membunuh anak perempuan dan sebagainya. Walaupun tidak dinafikan dari sudut ekonomi mereka merupakan masyarakat maju tetapi dari sudut akidah mereka sangat mundur menyebabkan dalam kalangan mereka sering berlaku pertelingkahan. Akan tetapi selepas kedatangan Rasulullah s.a.w membawa Islam, masyakat mula sedar kepentingan beragama dan sejak itu masyarat mula membina tamadun.
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, Fiqh Islam pada dasarnya menerima pembaharuan atau tajdid. Pembaharuan yang ingin dijalankan dalam fiqh Islam mencakupi pembaharuan dari segi isi kandungnnya, mekanisme penggeraknya, sikap para pendokongnya dan pengamalnya, institusi-institusi sokongan yang ada, bahkan melibatkan pembaharuan kehidupan massa. Pembaharuan fiqh sebenarnya memerlukan usaha yang gigih dan penyelidikan rapi di dalam bidang akademik (ilmiyyah), tidak sahaja bertujuan untuk memenuhi kehendak semasa dan tuntutan realit, tetapi juga perlu terarah untuk menyediakan asas bagi mengawal perkembangan zama dan persekitaran dan seterusnya menuju ke arah idealisme syariah.
Dalam hubungan inilah, kita berani mengatakan bahawa pembaharuan fiqh yang dimaksudkan, bukanlah semata-mata kerana ingin mengikut dan bergerak seiring dengan perkembangan masyarakat, tetapi adalah didorong oleh kesedaran bahawa melalui pembaharuanlah, kita akan menemukan satu jalan keluar yang dianggap terbaik untuk mengeluarkan masyarakat Islam dari kehidupan secara taklid buta yang merupakan faktor utama kepada mundurnya umat ini dan merupakan alternatif yang wajar bagi memajukan masyarakat mengikut lunas-lunas syariah.
Dengan semangat tajdid kita berusaha memecah kebekuan ini dan memulihkan daya kreativiti umat khususnya fuqaha bagi memungkinkan terciptanya pembaharuan-pembaharuan yang segar dan terkawal dalam kerangka syariah. Untuk memberikan jawapan dan alternatif Islam kepada masyarakat yang sedang berdepan dengan pelbagai arus budaya. Oleh itu, pembaharuan mesti dilakukan dan tidak selamanya kita bergantung kepada model-model jawapan yang sedia ada dan penyelesaian yang telah rapi desediakan oleh ulama terdahulu.
Cuba kita perhatikan apa akan berlaku jika Islam tidak membenarkan konsep ijtihad. Sudah pasti perubahan yang berlaku dalam masyarakat masa kini lebih cenderung kepada teori sekularisme, kerana mereka berpendapat jika mereka berpengang kepada agama untuk melaksanakan kemajuan sudah pasti negara akan mengalami kemunduran yang terlampau disebabkan Islam agama yang jumud. Di samping itu meyebabkan akidah umat Islam sedikit demi sedikit menjadi goyah. Perubahan sosial yang berlaku berdasarkan pengaruh barat contohnya dalam sistem perbankan boleh melaksanakan riba. Secara tidak langsung konsep matlamat menghalalkan cara dalam setiap aspek menjadi agen perubahan dalam kehidupan masyarakat.

6. TAQLID SEBAGAI PENGHALANG DALAM PERUBAHAN MASYARAKAT

Secara umumnya, taqlid beerti menerima apa sahaja hukum yang difatwakan oleh ulama mujtahidin tanpa usul periksa. Taqlid merupakan kata lawan bagi ijtihad. Cuba bayangkan apa akan berlaku jika pada masa kini umat Islam hanya bertaqlid semata-mata sudah pasti kehidupan umat Islam tidak akan berkembang dan maju.
Tamadun Islam akan mundur. Kesan yang paling besar adalah dari mata pandangan Barat yang sentiasa memandang kelemahan Islam yang bersifat mengongkong.

Sebenarnya bertaqlid tidak salah di dalam ajaran Islam kerana sudah pasti umat Islam bertaqlid terhadap hukum-hukum yang telah diyakini daripada ulama-ulama terdahulu yang megeluarkan hukum berpandukan syariat Islam. Akan tetapi permasalahanya ialah kehidupan manusia sentiasa berubah jadi sudah tentu wujud permasalahan baru yang memerlukan penyelesaian baru.
Oleh itu, ulama mutakhir seharusnya sentiasa bersedia untuk melakukan ijtihad selari dengan perubahan zaman agar dapat menghapuskan pemikiran Barat yang mengatakan Islam agam yang jumud dan mengongkong.

7. ADAKAH SISTEM PEMIKIRAN BARAT MEMPENGARUHI PERUBAHAN MASYARAKAT MASA KINI?

Serangan pemikiran Barat terhadap Islam dan umatnya bukanlah perkara baru. Ini melalui tulisan golongan orientalis mereka dan kempen media massa yang dikuasai Barat. Malangnya terdapat di kalangan umat secara sedar ataupun tidak, sedikit sebanyak termakan dengan serangan mereka.

Sebagai contoh perkara yang cuba dipertikaikan oleh Barat ialah persoalan aurat wanita di dalam Islam. Mereka menganggap kadar aurat yang dinyatakan oleh nas-nas Islam telah mengongkong kebebasan wanita. Cara yang terbaik bagi mereka ialah wanita diberi kebebasan dalam menampilkan tubuh mereka yang merupakan aset besar bagi diri wanita itu sendiri. Maka kita lihat bagaimana wanita-wanita Barat mendedahkan tubuh mereka dan menggayakan tingkah laku seks mereka. Ini bagi mereka lambang ketamadunan dan kebebasan. Ada segelintir di kalangan umat yang terpengaruh dengan dakyah ini. Antaranya mempertikaikan batas-batas aurat wanita dalam Islam. Maka lahirlah Sister in Islam yang sering mempertikaikan hak-hak wanita Islam.

Sebenarnya banyak lagi masalah yang wujud dalam masyarakat Islam masa kini disebabkan oleh pengaruh pemikiran Barat. Akan tetapi ia tetap masih belum dapat diselesaikan secara keseluruhannya. Perkara ini disebabkan oleh diri masyarakat islam sendiri yang tidak memahami dan menghayati ajaran islam itu sendiri menyebabkan mereka mudah terpengaruh.



KESIMPULAN

Kesimpulannya jika diperhati dengan lebih teliti, umat Islam sekarang menghadapi kejumudan pemikiran atau mendapnya kecerdasan akal. Tambahan pula, usaha pembaratan berlaku dengan cepat dan berjaya melalui pendidikan barat telah menyerap masuk ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Sistem pendidikan barat ini telah menyapu bersih generasi muda Islam yang menjadi harapan bangsa sehingga pemikiran mereka tidak dapat menerima agama Islam yang sebenar.

Pada pendapat saya semakan semula dengan teliti terhadap pembinaan hukum baru terutama yang membabitkan persoalan ijtihad. Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji perasaan takutkan Allah dalam memetik hukum-hakam. Perubahan yang dihasilkan melalui ijtihad bukan semata-mata kehendak manusia tetapi pelu dilihat daripada pelbagai sudut syarak kerana banyak juga perkara-perkara baru yang ditimbulkan oleh kemajuan Barat perlu dinilai dengan perasaan yang adil dan saksama. Pintu ijtihad terbuka dan tiada siapa berhak menutupnya. Bagaimanapun bagi ijtihad itu ada syarat-syarat yang tidak boleh diketepikan dengan mudah.


RUJUKAN


Abdul Basir Mohammad, 2006. Modul: sejarah perundangan Islam. Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi

Abd Karim Zaidan, 2004. Al-Wajiz Fi Usul Al-Fiqh. Risalah Publisher: Beirut.

Al-Islami. Darul Tajdid: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Al-Qaradawi. 1990. Madkhal li dirasah al-syaricah al-Islamiyyah. Kaherah: Maktabah

Asghar Ali Engineer, 2004. Islam masa kini. Pustaka pelajar: Jakarta

http://cahaya-iman.web.id/2008/12/14/kedudukan-akal-dalam-islam/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_dunia#Agama_dan_falsafah

Irwan Muhd Subri, 2006. Aliran al-Hadis dan aliran al-Ra’y dalam Fiqh. Kolej Universiti Islam Malaysia: Negeri Sembilaan

Jaffary Awang, 2008. Modul : Pemikiran Islam semasa. Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.

Kosmin, Barry A. "Contemporary Secularity and Secularism." Secularism & Secularity: Contemporary International Perspectives. Ed. Barry A. Kosmin and Ariela Keysar. Hartford, CT: Institute for the Study of Secularism in Society and Culture (ISSSC), 2007.

Mahmood Zuhdi b. Abd. Majid, 1988. Sejarah pembinaan hokum Islam. 2004. Universiti Malaya: Kuala Lumpur

Muhammad Baltaji, 2003. Metodologi ijtihad Umar al-Khattab. Cetakan ke-2. Khalifah: Jakarta.

Muhammad Fuad Muhammad Sawari, 2005. Madkhal Darasati Usul Al-Fiqh
Al-Islami. Darul Tajdid: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Sidi Gazalba, 1983. Islam dan perubahan sosiobudaya. Pustaka Antara
Kuala Lumpur: Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment