Thursday, March 18, 2010

MAZHAB SAHABI DAN AHLU MADINAH

MAZHAB SAHABI

1. PENDAHULUAN

Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat merupakan tempat rujukan terhadap sebarang permasalahan hukum bagi setiap peristiwa yang berlaku. Mazhab sahabi juga dikenali sebagai qaulu sahabi dan fatwa sahabi. Secara umumnya Mazhab sahabi merupakan perkataan yang diucapkan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w sama ada ia menjadi hujah atau tidak dalam masalah-masalah ijtihadiyyah yang tidak terdapat pada nas-nas al-Quran, sunnah ataupun ijmak.


2. PENGERTIAN SAHABI

Dari segi bahasa sahabat bererti berkawan, bergaul, ataupun bersama-sama, sama ada lama atau sekejap.

Manakala pengertian sahabat dari segi istilah iaitu orang yang berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w, beriman dan mati dalam Islam.

Menurut ulama Usul, sahabi ialah golongan yang pernah berjumpa Nabi Muhammad s.a.w dan beriman dengan baginda serta sentiasa berdampingan dengan baginda sepanjang hayat baginda. Di samping itu, sahabat juga merupakan antara golongan-golongan yang mengetahui rahsia pensyariatan hukum-hakam dan mampu untuk berijtihad. Mereka juga golongan yang mati dalam Islam. Contohnya Saidina Abu Bakar r.a, Saidatina Ai'shah r.a, Saidina Umar al-Khattab dan ramai lagi. Mereka adalah antara golongan yang sentiasa bermusyarakah bersama Nabi Muhammad s.a.w dalam menyelesaikan sesuatu masalah baru.

Manakala menurut pendapat ulama Hadis pula, sahabi adalah golongan yang pernah bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w dalam jangka waktu yang panjang atau pendek serta beriman dengannya dan mati dalam Islam. Walaupun mereka berjumpa dengan Nabi saw dalam masa yang sekejap ia juga di anggap sebagai sahabat karana pernah memandang kepada kemuliaan dan ketinggian Rasulullah saw sehingga orang yang melihatnya di anggap sebagai sahabat.

Jika diteliti secara umum melalui kedua-dua takrifan ini tidak terdapat perbezaan dalam maksud sahabi.


3. PENGERTIAN MAZHAB SAHABI

Setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w, banyak sahabat yang tampil memberi pendapat (fatwa) dalam menjawab berbagai masalah hukum yang timbul, sebahagian ahli usul fiqh menyebut pendapat sahabat dengan qaul sahabi, sebahagian yang lain menamakan dengan fatwa sahabi dan sebahagian lagi menyebut mazhab sahabi.

Mazhab sahabi ialah perkataan atau pendapat yang dinukilkan kepada kita oleh seorang Sahabat dalam bentuk fatwa terhadap masalah syarak yang tidak didapati nas-nas yang khusus bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut pandangan Imam al-Syafi'i, mazhab sahabi merupakan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w berkaitan masalah-masalah furuciyyah yang hukumnya tidak disebutkan di dalam nas al-Quran mahupun al-Sunnah secara jelas.


4. BENTUK-BENTUK MAZHAB SAHABI

Antara bentuk-bentuk mazhab sahabi ialah menurut Imam Abu Zahrah Muhamad:-

i. Apa yang disampaikan oleh sahabat itu adalah berita yang didengarnya daripada Nabi Muhammad s.a.w, tetapi tidak menyatakan bahawa berita itu sebagai hadis daripada Rasulullah saw. Contohnya riwayat Abdullah bin Masucd: tempoh minimum haid adalah 3 hari.

ii. Sesuatu yang disampaikan itu itu adalah hasil pemahaman sahabat terhadap ayat al-Quran serta kemampuannya dalam bahasa dan penggunaan dalil.

iii. Sesuatu yang disampaikan oleh sahabat itu telah disepakati melalui ijmak. Contohnya ijmak yang dilakukan bersandarkan al-masalih mursalah, di mana Abu Bakar r.a, Umar al-Khattab r.a dan Ali bin Abi Talib k.a telah mengisyaratkan dan bersepakat terhadap pengumpulan al-Quran. Hal ini dilakukan atas dasar kemaslahatan Islam umatnya.


5. KEHUJAHAN TERHADAP MAZHAB SAHABI

Seperti yang diketahui umum, mazhab sahabi merupakan salah satu sumber perundangan Islam yang tidak disepakati. Jelaslah bahawa terdapat perselisihan di kalangan ulama terhadap penghujahan berdasarkan mazhab sahabi. Penjelasan pendapat ulam berkaitan kehujahan mazhab sahabi terbahagi kepada dua kategori iaitu:-

i. Masalah yang keluar daripada perselisihan

Antara masalah yang terkeluar daripada medan perselisihan ialah:-

a. Fatwa dan pendapat yang disandarkan kepada apa yang berlaku pada zaman hayat Baginda s.a.w menjadi hujah tanpa sebarang perselisihan di kalangan ulama.

b. Fatwa sahabat yang tidak dapat ditanggapi melalui akal pemikiran serta tiada ruang untuk melakukan ijtihad. Contoh sebab penurunan ayat dan penentuan waktu solat.

c. Fatwa sahabat yang dilakukan secara ijtihad beramai-ramai di kalangan sahabat dan dipersetujui ijtihad tersebut melalui ijmak. Contohnya haram mengahwini nenek dan cucu berdasarkan dalil al-Quran. Firman Allah s.w.t:-

حُرِّمَتۡ عَلَيۡڪُمۡ أُمَّهَـٰتُكُمۡ وَبَنَاتُكُمۡ
Maksudnya:-
Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu..

(Surah an-Nisa’ 4:23)

d. Di samping itu, masalah yang keluar daripada perselisihan di kalangan ulama ialah mazhab sahabi tidak menjadi hujah dalam kalangan sahabat lain. Ini kerana para sahabat digalakkan untuk melakukan ijtihad dan berkemungkinan ijtihad mereka adalah berbeza-beza berdasarkan kefahaman masing-masing. Tambahan pula, mereka tidak menganggap fatwanya menjadi hujah bagi yang lain.

ii. Masalah yang menjadi perselisihan

Adapun begitu, masalah yang menjadi perselisihan ulama ialah mazhab sahabi yang semata-mata berdasarkan hasil ijtihad mereka sendiri dan tidak mendapat kata sepakat di kalangan para sahabat. Adakah ia boleh menjadi hujah kepada para tabici dan mujtahid pada masa akan datang? Terdapat beberapa pendapat mengenai permasalahan ini, antaranya ialah:-

i. Sebahagian ulama ini berpendapat bahawa mazhab sahabi itu menjadi hujah syarak bilamana tiada dalil yang khusus di dalam nas al-Quran dan al-Sunnah dan ia didahulukan daripada qias. Pendapat ini merupakan pendapat Mazhab Malik, Ahmad, sebahagian ulama Hanafi dan Mazhab al- Syafi'i pada qawl qadim.

ii. Menurut sebahagian ulama lain, mazhab sahabi tidak boleh dijadikan hujah syarak kerana ia berdasarkan ijtihad mereka yang boleh membawa kepada betul dan salah. Pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Asyacirah, Muktazilah, Shicah, al- Syafici pada qawl jadid dan sebahagian ulama mutakhir mazhab Hanafi, Maliki dan Ibn Hazm.


6. DALIL-DALIL GOLONGAN YANG BERSELISIH PENDAPAT

Bagi meringkaskan perbincangan, terdapat dua golongan yang terlibat di dalam perselisihan pendapat mengenai masalah ini iaitu golongan yang menerima mazhab sahabi sebagai hujah dan golongan yang tidak menerima mazhab sahabi sebagai hujah.


i. Dalil-dalil golongan yang menerima mazhab sahabi sebagai hujah syarak.

Golongan ini menggunakan dalil naqli dan aqli sebagai hujah penerimaan.

a) Dalil Naqli

Al-Quran

Antaranya ialah firman Allah s.w.t:-

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ
Maksudnya:-
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)

( Surah Ali Imran, 3:110)

Ayat ini ditujukan kepada para sahabat r.a. Jelaslah apa yang disuruh oleh sahabat mengenai agama adalah suatu yang macruf dan perlulah diterima. Ini kerana Allah s.wt telah menyifatkan para sahabat r.a sebagai umat yang selayaknya dalam menyeru kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran. Oleh itu, wajiblah ke atas setiap umat mengikuti apa yang ditetapkan oleh para sahabat.


Al-Sunnah

Sabda Rasulullah s.a.w:-
اَصْحَابِي كَالنُّجُوْمِ بِأَيِّهِمْ اِقْتَدَيْتُمْ اِهْتَدَيْتُمْ
Maksudnya;
Sahabat-sahabatku umpama bintang, apa yang kamu ikuti daripada mereka, nescaya kamu mendapat petunjuk.

(Riwayat al-Baihaqi)

Hadis ini menunjukkan bahawa mengikuti sahabat adalah petunjuk dan mencari petunjuk adalah wajib.

Adapun begitu, dalil-dalil naqli yang dikemukakan oleh golongan-golongan ini telah mendapat tentangan daripada golongan yang menolak mazhab sahabi sebagai hujah syarak. Mereka berpendapat bahawasanya ayat al-Quran di atas ditujukan kepada sekumpulan sahabat, tetapi tidak semestinya apa yang mereka ijtihadkan itu menjadi hujah

Sementara hadis “Sahabatku umpama bintang….”.adalah hadis yang tidak sabit dari Nabi s.a.w, bahkan dikatakan hadis tersebut adalah mawduc.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi di dalam hadis yang lain:-

خَيْرُ أُمَّتِيْ القَرْنُ الذين بُعِثْتُ فيهم

Maksudnya;
Sebaik-baik umatku ialah generasi di mana daku diutuskan (oleh Allah) padanya.

(Riwayat Abu Hurairah)
b) Dalil Aqli

Sahabat-sahabat r.a merupakan orang yang terdekat dengan Rasulullah S.A.W berbanding dengan orang lain. Mereka menyaksikan tempat-tempat penurunan ayat-ayat, mempunyai hati yang suci dan patuh kepada Nabawi yang menjadikan mereka lebih berupaya untuk mengetahui tujuan hukum syarak. Oleh itu, perkataan yang dikeluarkan oleh para sahabat selayaknya diikuti.


ii. Dalil-dalil golongan yang menolak mazhab sahabi sebagai hujah syarak

Antara dalil-dalil yang dikemukakan oleh golongan ini ialah:-

i. Firman Allah s.w.t:-

فَٱعۡتَبِرُواْ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَبۡصَـٰرِ (٢)
Maksudnya:-
Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.
( Surah al-Hasyr, 59:2)

Ayat ini menerangkan bahawa Allah s.w.t menyuruh orang yang mempunyai pemikiran untuk melakukan ijtihad kerana ijtihad menafikan taklid.

ii. Jika mazhab sahabi wajib digunakan sebagai hujah syarak sudah tentu ia lebih diutamakan dan didahulukan daripada qias. Akan tetapi dalil qias merupakan dalil yang disepakati oleh ulamak dan berada ditempat keempat selepas al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.

iii. Seperti yang diketahui, mazhab sahabi berdasarkan ijtihad para sahabat. Jadi, berkemungkinan berlaku kesalahan dalam ijtihad dalam mereka kerana keadaan sahabat yang melakukan ijtihad sama dengan para mujtahid yang lain. Oleh itu, tidak wajib ke atas golongan tabicin yang mujtahid beramal dengan fatwanya. Contohnya dalam masalah kalalah yang diijtihadkan oleh Abu Bakar r.a.

iv. Para sahabat memperakui ijtihad dikalangan tabicin walaupun tabicin tersebut mempunyai pandangan yang berlawanan dengan mazhab sahabi. Jika fatwa sahabat merupakan hujah sudah tentu tidak berlaku hal yang demikian. Contohnya, Saidina Ali berpendapat harus mendapat kesaksian anak terhadap bapanya akan tetapi Syuraih berpendapat kesaksian seorang budak dibenarkan akan tetapi kesaksian anak kepada bapanya tidak dibenarkan.


7. RUMUSAN

Ulama telah berbeza pendapat pada pendapat sahabat yang semata-mata hasil ijtihad mereka sendiri dan tidak mendapat persetujuan dari kalangan sahabat.

Golongan yang mengatakan fatwa sahabat yang berdasarkan ijtihad mereka semata-mata dan bukan merupakan ijmak di kalangan mereka tidak boleh dijadikan hujah syarak menjelaskan bahawa para mujtahid seharusnya mengeluarkan pendapat mereka sendiri berlandaskan asas perundangan Islam tanpa melakukan taqlid. Menurut Imam Syafici, “ tidak harus menetapkan hukum atau memberi fatwa kecuali berdasarkan kepada dasar yang kuat iaitu al-Quran, al-Sunnh, ijmak atau qias.

Manakala menurut Abu Hanifah dan mereka yang berpendapat mengatakan perkataan sahabat merupakan hujah. Menurut beliau, “ apabila aku tidak mendapati ketentuan hukum dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w maka aku akan mengambil pendapat dari sahabat yang aku kehendaki dan meninggalkan pendapat sahabat yang aku tidak kehendaki. Aku tidak mahu keluar dari pendapat sahabat-sahabat tersebut dan mengambil pendapat-pendapat yang lain.”

Jelaslah daripada setiap dalil yang dikemukakan dikalangan golongan-golongan ini mempunyai alasan tertentu, akan tetapi pendapat golongan yang menolak sepenuhnya agak regid kerana golongan sahabat merupakan golongan yang selayaknya untuk dipercayai kerana mereka hidup dan sentiasa bermusyarakah bersama Nabi Muhammad s.a.w dan mempelajari bagaimana cara mengistinbatkan hukum syarak dari Baginda s.a.w.

8. PENTARJIHAN

Menurut ulama kontemporari Dr. Abdul Karim Zaidan, beliau berpendapat seharusnya kita lebih cenderung menerima pendapat sahabat yang mujtahid untuk dijadikan hujah dan digunakan sebagai panduan dalam mengeluarkan hukum dari nas-nas syarak. Namun begitu, kedudukannya tidaklah sama seperti hujah qatci.

Saya bersetuju dengan pendapat Dr. Abdul Karim Zaidan. Ini kerana pada pendapat saya, golongan sahabat merupakan golongan yang paling dekat dengan Baginda s.a.w serta sentiasa mempelajari dan memahami nas-nas al-Quran dan al-Sunnah daripada Rasulullah s.a.w. Di samping itu, Rasulullah s.a.w juga sering meminta pendapat daripada para sahabat dalam menyelesaikan sebarang masalah. Sedangkan Baginda s.a.w memperakui pendapat mereka mengapa kita golongan mutaakhirin mesti menolak pandangan para sahabat.

Walaupun kita dibenarkan untuk mengikut pendapat para sahabat itu tidak bermakna kita boleh mengikut secara taqlid semata-mata tanpa berfikir sama ada pendapat sahabat tersebut sesuai atau tidak digunakan pada masa kini. Ini jelas, kerana tidak semua pendapat sahabat adalah sama dalam satu masalah. Oleh itu kita diharuskan untuk berijtihad berdasarkan dasar-dasar perundangan Islam.


AMALAN AHLI MADINAH

1. PENGERTIAN AMALAN AHLI MADINAH

Amalan ahli Madinah merujuk kepada setiap amalan yang diijmakkan oleh ulamak Madinah pada awal kurun ketiga yang mempunyai kaitan dengan para sahabat pada zaman Rasulullah s.a.w. Amal Ahli Madinah juga merupakan amalan dan perbuatan yang menjadi kebiasaan bagi penduduk Madinah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Amal ahli Madinah juga di sebut sebagai ijmak ahli Madinah .

2. KEHUJAHAN AMAL AHLI MADINAH

Ulamak berbeza pendapat dalam menyatakan kehujahan berdasarkan amal ahli Madinah:-

i. Golongan yang pertama mengambil amal ahli Madinah sebagai sumber hukum antaranya iaitu Imam Malik r.a. Beliau berpendapat Rasulullah s.a.w tinggal di Madinah dan majoriti sahabat juga tinggal di sana. Sehingga apa yang menjadi kebiasaan penduduk Madinah adalah apa yang menjadi kebiasaan Rasulullah juga. Suatu hal yang mustahil (menurut beliau) adalah jika majoriti sahabat yang majoritinya tinggal di Madinah melakukan kebiasaan yang sama namun bertentangan dengan hadis Rasulullah.

ii. Golongan yang kedua menolak amal ahli Madinah sebagai hujah syarak. Imam Syafici tidak mengakui amal ahli Madinah sebagai sumber hukum kerana mereka juga sama dengan manusia tempat lain

3. JENIS-JENIS AMALAN AHLI MADINAH

Amalan ahli Madinah telah diwarisi melalui dua cara iaitu jalan perpindahan dan jalan ijtihad. Amalan yang diwarisi melalui jalan perpindahan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:-

i. Sesuatu amalan yang berhubungan dengan Nabi Muhammad s.a.w sama ada melalui kata-kata, perbuatan dan taqrir atau Baginda s.a.w meninggalkan sesuatu kerana wujudnya sebab.

ii. Ijmak terhadap penentuan kadar-kadar sesuatu dan penentuan tempat. Contohnya penentuan kadar timbangan dan penentuan tempat solat, mimbar atau kubur.

iii. Ijmak terhadap amalan-amalan berterusan sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w contohnya azan diulang sebanyak dua kali, azan ditempat tinggi dan sebagainya.


Amalan yang diwarisi melalui ijtihad, ulama Maliki telah berselisihan kepada tiga pendapat iaitu:-

i. Ijtihad tidak dikira sebagai ijmak dan bukannya dianggap sebagai perajih bagi ijtihad ke atas yang lain.

ii. Ijtihad ulamak Madinah tidak dikira sebagai hujah tetapi merupakan perajih bagi ijtihad ke atas yang lain.

iii. Ia merupakan hujah tetapi tidak salah berlakunya khilaf.

Menurut al-Syeikh Muhhammad Abu Zuhrah, amal ahli Madinah di sisi Imam Malik adalah sesuatu amalan yang diwarisi secara naqal yang berterusan manakala tidak dianggap amal ahli Madinah jika ia diwarisi secara al-racyi.

4. KEDUDUKAN AMAL AHLI MADINAH

Imam Malik merupakan salah seorang ulama yang secara jelas mengatakan amal ahli Madinah sebagai hujah dalaam pensyariatan hukum Islam. Beliau telah menjelaskan secara terperinci di dalam kitabnya yang terbesar iaitu al-Muwattac, “ amalan ahli Madinah dikira sebagai hujah jika ianya disepakati oleh semua penduduk madinah”.

Imam Malik juga telah mendahulukan amalan ahli Madinah berbanding hadis Ahad dan qias kerana kekuatan yang wujud pada amalan tersebut tambahan pula setiap sahabat Baginda s.a.w lahir daripada Madinah.

Selain tu, amalan ahli Madinah merupakan satu amalan yang dinaqalkan daripada Nabi Muhammad s.a.w secara jamaah dan ia adalah lebih baik daripada dinaqalkan secara individu.



5. RUMUSAN

Pada pendapat saya, walaupun setiap amalan yang dilakukan oleh ahli Madinah dinaqalkan melalui Baginda s.a.w, akan tetapi ia tidak boleh dijadikan hujah di dalam perundangan Islam. Cuba kita lihat dari konteks yang lebih umum, kemungkinan besar amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat sesuai dan mudah untuk diikuti dan diamalkan oleh ahli Madinah yang baru mempelajari tentang agama Islam.

Oleh itu, ia tidak sepatutnya mendahului hadis Nabi Muhammad s.a.w kerana setiap kata-kata yang keluar dari mulut Baginda merupakan dasar perundangan Islam walaupun ia berlaku secara individu contohnya melalui hadis Ahad.


KESESUAIAN PENGGUNAAN MAZHAB SAHABI DAN AMALAN AHLI MADINAH PADA MASA KINI

Secara kesimpulannya, terdapat sesetengah Mazhab Sahabi sesuai dijadikan hujah dalam perundangan Islam disebabkan oleh faktor keanjalannya yang membolehkan setiap pendapat yang dikeluarkan oleh para sahabat diselarikan dan dijadikan rujukan dalam pensyariatan hukum pada masa kini.

Akan tetapi amalan ahli Madinah perlulah diteliti terlebih dahulu sebelum ia digunapakai di dalam kehidupan masyarakat pada masa kini. Tambahan pula, dengan faktor kemodenan yang semakin membiak pada masa kini.

No comments:

Post a Comment